Baru pulang dari bumi Tronoh, tempat terpasaknya bangunan2 gemilang, kebanggaan setiap mahasiswa yang bernaung di bawah lembayung alma mater UTP. Pergi berbekalkan sebuah beg, mampat isinya, pulang membawa seribu satu ilmu dan hikmah yang diperoleh sepanjang 5 hari berkampung di sana. Sayangnya, pasukan debat UKM gagal meloloskan diri ke peringkat suku akhir, terpaksa berpuas hati sekadar di tempat ketiga belas daripada 34 penyertaan IPTA, IPTS dan IPG seluruh negara. Kemenangan ke atas pasukan debat UUM, UNIRAZAK dan UPM gagal membantu pasukan UKM apabila ditundukkan lawan yang jauh lebih mentah dalam arena debat iaitu UNISZA, IPG Sultan Mizan dan UNIMAP. Di atas kertas, pasukan UKM adalah antara pasukan favourite bagi merangkul takhta juara Pertandingan Debat Perpaduan 2011, namun ternyata ramalan tidak menjanjikan kenyataan. Kerana pada asasnya, pasukan yang dibarisi pendebat-pendebat handalan ini gagal menterjemahkan hikmah seni perdebatan di dalam penghujahan mereka.
Suka saya samakan seni perdebatan dengan seni persilatan. Cuma taruhannya bukanlah kekuatan fizikal, tetapi kebijaksanaan pemilihan kata dan penghuraian fakta serta daya penarik yang kita adunkan bersama. Dalam gelanggang persilatan, seni tari dan gerak jurus dilihat sebagai elemen yang melengkapkan setiap pergerakan dan langkah pesilat. Namun jika kita amati, matlamat asal seni tari dan gerak jurus tersebut direka adalah sebagai strategi istimewa ataupun strategi rahsia bagi mempertahankan diri. Sepanjang pertandingan, pasukan debat UKM mungkin terlalu asyik melangkah dengan seni tari dan gerak jurus mereka sehingga terlupa matlamat asas kedua-dua elemen itu direka. Makna katanya, mereka terlalu menekankan teknik-teknik serta penstrukturan perdebatan sehingga matlamat bagi memberi kefahaman kepada sidang dewan tentang konsep serta pembawaan usul mereka gagal dicapai. Contohnya, sewaktu bertempur dengan pasukan IPG Sultan Mizan, mereka terlalu asyik cuba menyempurnakan seni tari yang dimaksudkan sehingga terlupa untuk menghunus keris terhadap pihak lawan. Natijahnya, pasukan lawan yang masih mentah tidak memilih untuk menari dan melakukan jurus yang mereka sendiri kurang mahir menggunakannya, sebaliknya mengangkat pistol dan terus melepaskan tembakan. Nah, apabila wujud sahaja sedikit kecacatan dalam seni tari pasukan UKM, peluru itu tidak dapat dielak. Dalam bahasa mudah, pasukan IPG Sultan Mizan, walaupun tiada asas kes yang kukuh bagi melawan kes pasukan UKM (UKM bertindak sebagai kerajaan manakala IPG Sultan Mizan sebagai pembangkang) , mereka berjaya menimbulkan 1001 pertikaian yang akhirnya menimbulkan keraguan yang nyata di pundak ahli persidangan terhadap usul yang dibentangkan oleh pihak UKM. Konsekuensinya amat memeritkan apabila pasukan UKM yang berhujah dengan penuh gaya dan karisma terpaksa menelan hempedu kekalahan, dengan keputusan juri 2-1.
2 comments:
semoga pendebat ukm akan terus berjaya pada masa hadapan ;)
visit my oage if u like
http://athirahshariffudin.blogspot.com
tq..=) dh view,tp belum follow lg kot..x reti..haha
Post a Comment